Selasa, 5 Julai 2011

yang terbaik akan bergelar juara

NADA penuh realistik disuarakan pengendali Terengganu, Irfan Bakti tatkala anak-anak buahnya berdepan misi penuh mustahil menentang Felda United bagi memburu gelaran sulung Liga Super malam ini.

Atas kertas, juara Piala FA itu perlu melakar kemenangan besar ke atas Felda United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sambil mengharapkan dua pasukan pilihan, Kelantan dan Selangor tumbang di gelanggang lawan.

Terengganu kini menghuni tangga ketiga dengan 51 mata, sedangkan Kelantan yang turut memburu gelaran sulung selesa dengan 53 mata, sambil Selangor mengekori rapat dengan 51 mata.

Kelantan hanya perlu mencatat keputusan seri menentang Sabah di Likas, namun Irfan dengan penuh yakin menjelaskan bahawa laluan berliku pasti dihadapi skuad Datuk M. Karathu itu di Likas.

“Memang sukar tetapi kami masih ada 90 minit. Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak seperti mana yang kalian saksikan pada final Piala FA lalu.

“Jadi, mengapa perlu kami mengharapkan kepada tuah, kerana keputusan tetap muktamad bahawa hanya pasukan terbaik boleh bergelar juara liga,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Namun sikap rendah diri tetap menjadi agenda Irfan bagi memasti- kan kesemua pemainnya tidak hilang fokus kepada pertemuan menentang Felda United malam ini.

Katanya, sasaran utama Terengganu adalah mencari tiga mata penuh, sambil mengharapkan jentera tengah dan serangan pasukannya mampu menjaringkan sebanyak mungkin gol.

“Sejujurnya, kami tidak ingin mengetahui keputusan bagi perlawanan Kelantan mahupun Selangor kerana misi kami hanya mahu mencari kemenangan.

“Sebaik wisel permainan ditiupkan, barulah kita tahu siapa pemenang mutlak dan tidak kira siapa yang menang, juara tetap juara,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi pemain, jurulatih kelahiran Kelantan itu mengakui bahawa beliau berdepan sedikit dilema, terutamanya mengenai tahap kecergasan beberapa tonggak utamanya yang beraksi dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, demi membuktikan kemampuan pasukan, Irfan sedia mencorak percaturan dan menurunkan trio kebangsaan, Sharbi- nee Allawee, Helmi Rameli dan Abdul Hadi Yahya untuk menentang Felda United malam ini.

“Mereka mungkin keletihan tetapi perlawanan ini penting dan khidmat mereka bertiga begitu diharapkan untuk kami mencatat kemenangan,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan