Sabtu, 2 Julai 2011

Uitm,Ukm tampil sebagai pilihan

UiTM, UKM tampil sebagai piliha

SAINGAN bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2011 memasuki perlawanan kedua petang ini dengan lapan pasukan sekali lagi memburu kemenangan penting bagi mencerahkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati. Dua pasukan pilihan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang masing-masing mengutip tiga mata berharga kelmarin, dilihat berpeluang mencatat kemenangan kedua ke atas lawan masing-masing di peringkat kumpulan.

Turun selaku juara bertahan, UiTM yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Universiti Malaya (UM) 4-0 pada aksi pembukaan, diramal tiada masalah mengatasi pasukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam Kumpulan A di Stadium UiTM petang ini. Begitupun, mereka perlu lebih berhati-hati kerana UTHM sudah pasti mahu memburu kemenangan pertama setelah hanya mampu seri 2-2 dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

UM pula berpeluang untuk bangkit dari kekalahan besar 0-4 mereka kepada UiTM kelmarin dengan kemenangan ke atas UMS di Stadium UPM dalam satu lagi aksi Kumpulan A. Sementara itu, UKM juga dilihat sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan B dan akan turun menentang pasukan Kolej Komuniti Kedah (KKK) di Stadium UKM petang ini. UKM, finalis tahun lepas, memburu kemenangan kedua setelah menumpaskan Politeknik Kota Bharu (PKB) 3-0 pada aksi pertama, manakala lawan mereka dari Utara itu pula dalam misi menebus aib setelah kalah 2-4 kepada Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Begitupun, MMU yang dilihat pencabar utama UKM dalam Kumpulan B, bakal berdepan laluan sukar petang ini kerana terpaksa berdepan PKB yang mahu bangkit memburu mata pertama dalam saingan edisi tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan