Sabtu, 2 Julai 2011

Skuad bolasepak wanita diberi nafas baru

EPISOD duka yang membelenggu pasukan bola sepak wanita negara mahu segera dilupakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini sedang dalam proses pembentukan semula pasukan tersebut. Sehubungan itu, FAM mengambil langkah pertama dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan 2011 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam bermula 22 hingga 28 Julai ini. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, lapan pasukan dijangka akan menyertai kejohanan tersebut yang akan dikelolakan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Menurutnya, kejohanan yang berbentuk karnival tersebut dianjurkan ekoran pembubaran Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBSWM) berdasarkan arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) baru-baru ini.

“Sehubungan dengan itu Kejohanan Bola Sepak Piala Tun Syarifah Rodziah tidak lagi diteruskan sebaliknya satu piala baharu akan diumumkan sedikit masa lagi dan piala ini juga akan menjadi rebutan ketika kejohanan berbentuk liga dimulakan tahun depan.

“Sasaran kita ialah 12 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam liga pada tahun depan. Untuk itu, kita membuka penyertaan kepada semua negeri bagi mendaftarkan pasukan masing-masing sehingga penghujung Oktober depan,” katanya. Tambahnya, pasukan yang berstatus kelab juga boleh membuat permohonan tetapi perlu melalui badan gabungan untuk merealisasikan impian mewujudkan liga bola sepak wanita bermula Januari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, pihaknya menganggarkan peruntukan RM250,000 diperlukan untuk menganjurkan kejohanan berbentuk karnival tersebut dengan empat pasukan terbaik akan memenangi hadiah berbentuk wang tunai dan sebuah piala untuk pasukan yang menjadi johan. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM turut memaklumkan, kejohanan ini akan menjadi platform untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak wanita kebangsaan yang mantap bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Laos pada Oktober ini selain Sukan Sea penghujung tahun ini.

“Satu jawatankuasa panel pemilihan terdiri daripada empat kumpulan akan dibentuk bagi memilih seramai 40 pemain untuk menjalani sesi pemilihan pasukan kebangsaan sepanjang bulan Ogos dan September ini.

“Kita ingin meningkatkan populariti bola sepak wanita. Saya melihat kejayaan skuad futsal wanita kebangsaan boleh menjadi perangsang kepada penubuhan pasukan bola sepak wanita kebangsaan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan