Isnin, 4 Julai 2011

perlu menang di likas

SELEPAS hampir tiga minggu berehat, saingan Liga Super kembali menerjah peminat bola sepak tanah air esok yang menyaksikan tiga pasukan teratas terus bersaing memburu gelaran. Paling hampir untuk mencipta sejarah adalah Kelantan yang hanya memerlukan satu mata ketika mereka dijadualkan berkunjung ke Kota Kina- balu menentang Sabah untuk perlawanan terakhir bagi memastikan piala Liga Super dibawa pulang ke Kota Bharu.

Kelantan dilihat berada pada kedudukan terbaik selepas mereka menerima semula khidmat lima tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Khairul Fahmi Che Mat, Fari- sham Ismail dan Shakir Shaari yang baru pulang menunaikan tugas bersama pasukan kebangsaan. Kelibat Norshahrul yang beraksi pada perlawanan antara Malaysia dan Taiwan malam kelmarin melegakan peminat- peminat The Red Warriors selepas bintang mereka itu dilaporkan mengalami kecederaan sebelum ini.

Perlawanan malam esok bukan sahaja menyaksikan persaingan merebut piala Liga Super tetapi juga gelaran penjaring terbanyak antara Norshahrul dan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu apabila mereka hanya dipisahkan dengan satu gol sahaja. Berdasarkan rekod pertemuan, Sabah adalah antara tiga pasukan yang gagal ditumpaskan Kelantan ketika aksi di ‘stadium keramat’ mereka, Stadium Sultan Muhammed IV apabila perlawanan hanya berkesudahan seri tanpa jaringan pada 16 April lalu.

Beraksi di Stadium Likas, The Red Warriors perlu berhati- hati kerana pasukan tuan rumah turut memiliki rekod yang cukup baik termasuk pernah menewaskan Perak dan Kedah, manakala Kelantan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan mereka sebagai juara baru Liga Super dan menambah koleksi kemenangan di gelanggang lawan. Kelibat penjaring terbanyak Sabah, Razlan Oto dan penyerang veteran, Zainizam Mar- jam perlu diberi perhatian oleh anak-anak buah Datuk M. Karathu kerana kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk meledakkan gol. Ketua Pasukan Kelantan, Badri Radzi ketika dihubungi bagaimanapun percaya dia dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi dinobatkan sebagai juara baharu pertandingan bola sepak paling berprestij tanah air itu.

Menurutnya, kejayaan membawa pulang Piala Liga Super sudah tentu mengubat kekecewaan peminat selepas The Red Warriors terpaksa merelakan Terengganu mendakap Piala FA selepas kecundang 2-1 pada perlawanan akhir 11 Jun lalu. “Kita pergi untuk menang walaupun satu mata sudah cukup untuk kita mengesahkan kejuaraan. Apabila bermain untuk seri, kita dalam bahaya, Selangor dan Terengganu hanya tunggu masa dan kita tidak mahu berputih mata sekali lagi. “Perlawanan ini sangat penting. Saya gembira apabila lima rakan yang menyertai skuad kebangsaan akan bersama kami semua. Ia sudah tentu perlawanan yang sengit tetapi kita mahu memenanginya,” ujarnya. Tambahnya, ketiadaan Nurul Azwan Roya yang mengutip tiga kad kuning sedikit merencatkan perancangan, namun beberapa pemain lain seperti Mohd. Izuan Solahuddin mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan