Isnin, 4 Julai 2011

Harimau malaya mahu benam singapura

TAIWAN sudah ditunjuk jalan keluar, inikan pula Singapura. Justeru, pertembungan Malaysia dengan barisan skuad kebangsaan ‘import’ Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan pasti sengit. Andai berjaya mengatasi Singapura kelak, Malaysia mempunyai alasan tersendiri untuk bermegah kerana lawan mereka merupakan pasukan yang diwakili pemain import dan bukannya seratus peratus anak jati tempatan.

Malaysia layak ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Taiwan dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. Agregat terikat 4-4 tetapi skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu telah menghasilkan dua gol di tempat lawan malam kelmarin meskipun pada aksi tersebut Malaysia tewas 2-3. Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lepas, Malaysia menang 2-1. Ranking antara Malaysia dengan Singapura juga tidak jauh berbeza. Malaysia berada di tangga ke-144 dunia manakala Singapura menghuni tangga ke-142.

Rekod kemenangan juga agak seimbang namun, Singapura yang dibimbing Rodojko Avramovic itu mendapat bye pusingan pertama dan telah mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan pusingan kedua. Pada 7 Jun lalu, Singapura mudah menewaskan Maldives 4-0 menerusi dua jaringan Qiu Li, Shi Jiayi dan Aleksandar Duric. Pada Khamis lalu pula, Singapura berjaya menewaskan kelab Perancis yang beraksi di Liga Singapura, Etoile FC 2-1 hasil jaringan Li dan Duric. Kemenangan yang mereka raih itu memang hebat tetapi, semuanya disumbangkan oleh ‘warganegara import’ mereka.

Malaysia pula seri 1-1 dengan Etoile FC pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Mac lalu. Li, 30, dan Jiayi, 28, merupakan dua pemain kelahiran China yang mendapat kerakyatan Singapura manakala Duric, 41, dari Bosnia mula beraksi untuk Singapura sejak 2007. Biarpun Avramovic telah menggugurkan beberapa muka lama seperti Baihakki Khaizan, Noh Alam Shah, Precious Emuejeraye dan Agu Casmir untuk senarai 33 pelatih bagi kelayakan Piala Dunia 2014, majoriti daripada pemain utama lain masih dikekalkan dalam skuad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan