Sabtu, 2 Julai 2011

PM penyokong no.1TRW

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak, diumum sebagai penyokong No. 1 pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW). Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan The Red Warriors yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Machang 1, dekat Kota Bharu Kelantan semalam. Sejurus pengumuman itu dibuat, beliau dikalungkan selendang bertulis 'Penyokong No. 1 The Red Warriors' seterusnya menerima jersi yang ditandatangani kesebelasan pemain TRW yang disempurnakan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, semasa berucap pada majlis tersebut berkata, PM merupakan antara individu yang banyak melakukan transformasi sukan negara kerana ramai jaguh sukan negara lahir daripada akademi sukan Bukit Jalil yang diilhamkan beliau sebelum ini. "PM juga adalah individu yang telah banyak membantu pembangunan sukan bola sepak khususnya di negeri ini berbanding kerajaan negeri yang sehingga hari ini tidak pernah menyumbang satu sen walau sudah beberapa kali permohonan rasmi dikemukakan oleh Kafa," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan kesebelasan pemain TRW. Dalam pada itu Annuar, berharap kerajaan Pusat dapat mempertingkatkan bantuan demi pembangunan sukan negeri Kelantan selepas tiada komitmen daripada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut. "Tiada stadium di dalam Malaysia kecuali Kelantan yang papan tandanya masih lagi 'cap rukah' (terpaksa panjat) setiap kali perlawanan berlangsung. Namun apa boleh buat," kata Annuar. Sementara itu, pada akhir majlis tersebut Najib menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kafa dalam usaha memajukan lagi sukan bola sepak di negeri berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan