Jumaat, 11 Januari 2013

KES SELESAI!

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa nilai tebus kontrak Norshahrul Idlan Talaha dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah pun diselesaikan selepas penyerang Johor Darul Takzim FC (Johor DT) itu melunaskan tebus kontrak selama 13 bulan bernilai RM299,000. Selain itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak perlu membayar sebarang yuran perpindahan buat Norshahrul. FAM menjelaskan bahawa Norshahrul telah melangsaikan bayaran penamatan kontrak setahun sebagaimana yang dipersetujui oleh KAFA. Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara tersebut dengan memberitahu, Norshahrul yang juga dikenali sebagai Mat Yo, hanya perlu membayar tebus kontrak sahaja dan bukannya RM1 juta sebagaimana yang dituntut oleh KAFA baru-baru ini. Katanya, pemain berusia 26 tahun itu telah pun menjelaskan bayaran penebusan kontrak itu seperti yang dituntut KAFA dan telah selesai sejak 20 November lepas. Jelasnya, Mat Yo telah dua kali membuat bayaran penebusan kontrak kepada KAFA berjumlah RM299,000 melalui draf bank. “Bayaran pertama Mat Yo sebanyak RM250,000 diberikan kepada KAFA pada Jumaat lalu dan bayaran kedua berjumlah RM49,000 sehari kemudian. Kami telah mendapat salinan bayaran ini daripada peguam yang mewakili Mat Yo. “Apabila pemain menamatkan kontrak sebelah pihak dengan pasukannya, dia hanya perlu membayar bayaran tebus kontrak sahaja. “Pasukan asal (Kelantan) tidak berhak menuntut bayaran perpindahan dan mereka hanya boleh menuntut tebusan nilai kontrak daripada Mat Yo yang berbaki selama 13 bulan sahaja. “Justeru, bayaran yang dituntut KAFA tidak dapat dibenarkan kerana ia bukan melibatkan perpindahan pemain, ia cuma tamat kontrak sebelah pihak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Sebelum ini, KAFA menuntut Mat Yo melangsaikan bayaran sebanyak RM1 juta kerana dia menamatkan kontraknya bersama Kelantan setahun lebih awal. Jumlah tersebut dinilai menerusi nilai Mat Yo sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga M) selama tiga musim berturut-turut (RM300,000), yuran perpindahan minimum ditetapkan oleh FAM adalah RM250,000, pinjaman perumahan lebih RM100,000 serta insentif dan kerugian yang terpaksa ditanggung KAFA kerana penaja menarik diri. “Apabila pemain menamatkan kontrak, dia hanya perlu membayar tebus kontrak, bukan tajaan atau lain-lain. “Kami juga tidak akan mengiktiraf sekiranya wujud perjanjian lain antara bekas pemain dengan majikannya tanpa merujuk kepada FAM seperti dalam kes Mat Yo kerana ia di luar bidang kuasa kami,” katanya. Dalam perkembangan lain, Takiyuddin turut mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membayar sagu hati berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas mendapatkan khidmat bekas pemain Harimau Muda A, Mohd. Affize Faisal Mamat yang berasal dari Terengganu. Beliau berkata, PBSNT tidak mempunyai hak memaksa pemain berusia 24 tahun itu beraksi bersama negeri kelahiran biarpun sebelum ini peraturan FAM telah menetapkan bekas pemain Harimau Muda A harus kembali bersama dengan negeri asal mereka. “Bayaran perlu dijelaskan kepada PBSNT dalam tempoh sebulan atau kita akan memotong geran tahunan yang diberikan kepada ATM bagi menyelesaikan masalah ini,” kata Takiyuddin. kredit to:kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan