Sabtu, 12 Januari 2013

Bujang Senang ligat mengganas

Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Universiti Teknologi Mara (UiTM), skuad Bujang Senang sepatutnya meraikan kemenangan dengan lapan atau sembilan gol pada pertemuan Liga Perdana di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin. Apapun, lima gol hadiah daripada Bobby Gonzales (minit ke-4 dan 61), Ivan Babic (ke-42), Joseph Kalang Tie (ke-68) dan Guy Bwele (ke-73) sudah memadai untuk mengukir senyuman di wajah ketua jurulatih Robert Alberts sebaik wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Helday Idang. Kejayaan besar 5-0 malam kelmarin pastinya menjadi bekalan semangat ketika Ngap Sayot untuk bertandang di Stadium Hang Tuah, Melaka menentang SPA FC esok. Menurut Alberts, perubahan taktikal di posisi sayap dan tengah nyata membuahkan hasil namun beliau terpaksa menunggu separuh babak pertama untuk melihat percaturannya itu membawa impak. “UiTM bermain dengan baik dan tidak mudah untuk menewaskan mereka. Pemain- pemain mereka juga mempunyai kemahiran tinggi dan hampir mengejutkan kita menerusi beberapa serangan berbahaya. “Barisan tengah kita juga kurang menyerlah di awal ” “ Robert Alberts Ketua jurulatih Sarawakpermainan dan menyebabkan kita sukar untuk menembusi benteng UiTM. Namun, saya gembira kerana mereka berjaya mencari keserasian dan telah mengubah rentak permainan dengan ketara,” katanya. Pujian juga dilemparkan oleh Alberts terhadap barisan pertahanan dikepalai oleh pemain import, Guy Bwele yang bertindak cemerlang mematikan serangan bertubi skuad itu. “Saingan masih jauh dan saya harap mereka akan mengekalkan rentak cemerlang pada perlawanan seterusnya,” tambah Alberts. UiTM terlebih dahulu menguji penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani seawal minit pertama menerusi ledakan penyerangnya, Mohd Adam Syahir namun berjaya ditepis keluar. Seakan mendapat inspirasi daripada percubaan awal tersebut, jentera penyerang UiTM menggalakkan serangan dari pelbagai sudut. Bobby akhirnya memadam keresahan sekitar 20,000 penyokong tuan rumah dengan menyumbat gol pertama Sarawak pada minit keempat. Beliau yang menerima hantaran cantik daripada Joseph meledak tepat ke arah palang sebelum melantun ke dalam gol bagi memimpin perlawanan. Pada minit ke-42, giliran Ivan merekodkan nama selaku penjaring setelah menanduk mudah bola hantaran silang Azizan Saperi. Sarawak sepatutnya menutup separuh masa pertama dengan 3-0 jika dihadiahkan sepakan penalti setelah Ivan dijatuhkan oleh dalam kotak penalti. Permainan milik Sarawak sepenuhnya pada separuh masa kedua dengan menyaksikan deretan serangan dijanakan oleh rangkaian penyerangnya. Joseph menunjukkan kualitinya selaku bekas pemain kebangsaan dengan berjaya mengelecek dua pertahanan UiTM sebelum merembat tepat ke arah penjaga gol. Bobby tidak mensia-siakan bola muntahan tersebut dan merembat masuk mudah bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-61. UiTM turut mengintai peluang untuk mengurangkan defisit gol, namun skuad bimbingan Azman Eusoff seperti hilang arah dan menyaksikan serangan mereka sekadar berlegar-legar di luar petak penalti Sarawak. Sebaliknya, kedudukan Sarawak semakin selesa apabila Joseph meledak gol keempat pada minit ke-68 sebelum Guy Bwele menambah derita UiTM enam minit kemudian dengan menanduk mudah bola hantaran ala ‘bicycle kick’ Ronny Harun. Sarawak kini berada di tangga kedua liga di belakang PDRM dengan mengumpul enam mata. kredit to:Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan