Rabu, 3 Ogos 2011

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti cadangan mengadakan penasihat atau pengarah taktikal yang berperanan membantu ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal meningkatkan kualiti pemain skuad negara.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat FAM selepas Hari Raya Aidilfitri.

''Semua pihak boleh mengeluarkan cadangan dan saya juga ada pendapat saya. Kita memang sentiasa memandang ke hadapan dan dari segi pelantikan pengarah taktikal, kita akan meneliti dengan sedalam-dalamnya," kata Tengku Abdullah selepas menghadiri majlis pengurniaan zakat dan berbuka puasa di Masjid Al-Muadzam Shah dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif sebelum ini mencadangkan FAM mengadakan seorang penasihat atau pengarah taktikal dalam membantu meningkatkan permainan skuad negara yang kelihatan tidak konsisten dalam persembahannya.

Ia termasuk persembahan yang tidak mencapai standard diharapkan ketika menentang Singapura dalam kelayakan Piala Dunia 2014 apabila skuad kebangsaan tersingkir selepas tewas dengan agregat 4-6.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah memberitahu, pihaknya akan mengadakan post-mortem untuk mengkaji punca kekalahan skuad kebangsaan ketika menentang Singapura tempoh hari.

''Kita tidak boleh menafikan antara sebab kekalahan ialah pemain kita lebih muda berbanding Singapura. Nasib juga tidak menyebelahi kita. Saya harap Rajagobal ada perancangan untuk pertingkatkan semula prestasi pasukan kita," ujar Tengku Abdullah.

Tengku Mahkota Pahang itu juga berharap Rajagobal mampu membentuk skuad yang lebih mantap dalam menghadapi Sukan Asia pada 2013.

Ditanya sama ada FAM akan memanggil beberapa pemain senior yang beraksi ketika menentang Chelsea, baru-baru ini untuk diserapkan ke skuad kebangsaan, jelasnya, perlawanan persahabatan itu tidak boleh dijadikan ukuran menilai prestasi pemain.

''Kita masih ada masa dan kita berharap ketua jurulatih dapat membentuk pasukan yang lebih baik dalam tempoh dua tahun ini," katanya.(Sumber Utusan Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan