Isnin, 4 Julai 2011

Harimau malaya layak ke pusingan kedua kelayakan piala dunia

Kejayaan Malaysia mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia malam tadi memberi makna yang cukup besar buat jurulatih Datuk K. Rajagobal.

Kejayaan itu boleh dianggap sebagai hadiah hari jadi buat Rajagobal yang akan menyambut hari ulang tahun ke-55 pada 10 Julai ini.

Sebelum ini, sentuhan magis Rajagobal telah membawa skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos, sekali gus menamatkan penantian kilauan emas selama 20 tahun pada temasya dwitahunan tersebut.

Rentetan kejayaan anak-anak buah Rajagobal berterusan apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Suzuki AFF hujung tahun lalu.

Pada aksi malam tadi, meskipun tewas 2-3 kepada Taiwan pada pertemuan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, skuad kebangsaan tetap mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.

Pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu, skuad Harimau Malaya itu mencipta kemenangan 2-1.

Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menggamamkan seketika kira-kira 25,000 penyokong tuan rumah hasil jaringan menarik pada minit kelapan menerusi sepakan percuma dari jarak 35 meter.

Gol tersebut berpunca selepas kapten Safiq Rahim dijatuhkan pemain pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi.

Anak-anak buah Rajagobal berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan menarik selepas jaringan Aidil, namun ia dinafikan penjaga gol Taiwan, Lin Po-Cheng.

Peluang terbaik skuad kebangsaan menambah jaringan hadir pada minit ke-29, namun percubaan penyerang berbisa, Nor- shahrul Idlan Talaha sekadar melepasi palang gol tuan rumah.

Dua minit kemudian, Taiwan berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan Chang Han pada minit ke-31 setelah berlaku situasi kelam-kabut di hada- pan pintu gol Harimau Malaya.

Bagaimanapun, gol penyamaan Taiwan itu tidak melunturkan semangat barisan negara dan hasil- nya mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan percuma Safiq pada minit ke-38.

Sepakan percuma itu terhasil selepas pemain pertahanan Taiwan, Xavier Tsan-Yuan menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di luar kotak penalti.

Seminit sebelum aksi babak pertama berakhir, Chen Po-Liang kembali menggamatkan stadium dengan gol kedua tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Apabila babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan permainan lebih terbuka dengan masing-masing melancarkan serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-60, pengadil perlawanan dari Vietnam, Vo Minh Tri sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan selepas pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas mengasari Po-Liang. Bagaimanapun, Sharbinee muncul penyelamat apabila menafikan sepakan Po-Liang.

Menyedari Taiwan semakin ghairah melancarkan serangan ke kubu Harimau Malaya, Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan S. Chanturu bagi menggantikan tempat Amirulhadi Zainal pada minit ke-65.

Minh Tri mencetuskan kemarahan kem Harimau Malaya apabila sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan pada minit ke-73. Kali ini, Sharbinee gagal menyelamatkan gawangnya daripada dirobek Xa- vier.

Sabtu, 2 Julai 2011

Harimau malaya Memburu kemenangan

BAYANGAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi perlawanan kedua kelaya­kan Piala Dunia zon Asia menentang Taiwan, semakin jelas selepas sesi latihan terakhir di Stadium Taipei, semalam.
Skuad kebangsaan yang berkunjung ke Taiwan de­ngan bekalan 2-1, memerlukan sekurang-kurangnya seri di sini tetapi Rajagobal tampak tidak mahu mengambil risiko dan tetap mahu melebarkan jurang defisit.
Penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha yang tidak diturunkan di Bukit Jalil Rabu lalu, kelihatan sudah mula mencapai tahap kecergasan dan Rajagobal dilihat menggandingkan Norshahrul dengan Abdul Hadi Yahaya dalam latihan semalam, selepas gandingannya di Piala AFF Suzuki, Safee Sali sekadar memerhati dari luar padang akibat kecederaan.

Kemudian, Rajagobal mencuba pula Ahmad Fakri Saarani bersama Norshahrul manakala di benteng pertahanan, kelibat Mahali Jasuli turut berada dalam kesebelasan Rajagobal, yang memberi isyarat serangan balas bakal dari sebelah sayap mungkin menjadi senjata untuk mencari kemena­ngan malam ini.

“Bayangan ke pusingan kedua sudah ada, cuma sekarang saya perlu cari gandingan terbaik yang akan diturunkan esok (hari ini),” kata Rajagobal selepas sesi latihan itu.

“Saya sudah cuba beberapa gandingan hari ini (semalam), dan saya lihat kesungguhan pemain untuk menurut arahan. Kita tunggu dan lihat corak permainan mereka nanti.
“Saya yakin mereka mampu menyempurnakan tugasan yang diberi dan keputusan akan memihak kita.”

Sementara itu, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak beraksi Rabu lalu, turut kembali berlatih walaupun belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.

“Saya sedia beraksi, tetapi terpu­lang kepada jurulatih sama ada menurunkan saya atau tidak,” kata Fahmi. “Siapapun pilihan jurulatih, ia adalah untuk kebaikan pasukan dan saya yakin misi utama untuk menang mampu dilaksanakan.”

PM penyokong no.1TRW

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak, diumum sebagai penyokong No. 1 pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW). Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan The Red Warriors yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Machang 1, dekat Kota Bharu Kelantan semalam. Sejurus pengumuman itu dibuat, beliau dikalungkan selendang bertulis 'Penyokong No. 1 The Red Warriors' seterusnya menerima jersi yang ditandatangani kesebelasan pemain TRW yang disempurnakan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, semasa berucap pada majlis tersebut berkata, PM merupakan antara individu yang banyak melakukan transformasi sukan negara kerana ramai jaguh sukan negara lahir daripada akademi sukan Bukit Jalil yang diilhamkan beliau sebelum ini. "PM juga adalah individu yang telah banyak membantu pembangunan sukan bola sepak khususnya di negeri ini berbanding kerajaan negeri yang sehingga hari ini tidak pernah menyumbang satu sen walau sudah beberapa kali permohonan rasmi dikemukakan oleh Kafa," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan kesebelasan pemain TRW. Dalam pada itu Annuar, berharap kerajaan Pusat dapat mempertingkatkan bantuan demi pembangunan sukan negeri Kelantan selepas tiada komitmen daripada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut. "Tiada stadium di dalam Malaysia kecuali Kelantan yang papan tandanya masih lagi 'cap rukah' (terpaksa panjat) setiap kali perlawanan berlangsung. Namun apa boleh buat," kata Annuar. Sementara itu, pada akhir majlis tersebut Najib menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kafa dalam usaha memajukan lagi sukan bola sepak di negeri berkenaan.

Uitm,Ukm tampil sebagai pilihan

UiTM, UKM tampil sebagai piliha

SAINGAN bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2011 memasuki perlawanan kedua petang ini dengan lapan pasukan sekali lagi memburu kemenangan penting bagi mencerahkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati. Dua pasukan pilihan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang masing-masing mengutip tiga mata berharga kelmarin, dilihat berpeluang mencatat kemenangan kedua ke atas lawan masing-masing di peringkat kumpulan.

Turun selaku juara bertahan, UiTM yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Universiti Malaya (UM) 4-0 pada aksi pembukaan, diramal tiada masalah mengatasi pasukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam Kumpulan A di Stadium UiTM petang ini. Begitupun, mereka perlu lebih berhati-hati kerana UTHM sudah pasti mahu memburu kemenangan pertama setelah hanya mampu seri 2-2 dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

UM pula berpeluang untuk bangkit dari kekalahan besar 0-4 mereka kepada UiTM kelmarin dengan kemenangan ke atas UMS di Stadium UPM dalam satu lagi aksi Kumpulan A. Sementara itu, UKM juga dilihat sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan B dan akan turun menentang pasukan Kolej Komuniti Kedah (KKK) di Stadium UKM petang ini. UKM, finalis tahun lepas, memburu kemenangan kedua setelah menumpaskan Politeknik Kota Bharu (PKB) 3-0 pada aksi pertama, manakala lawan mereka dari Utara itu pula dalam misi menebus aib setelah kalah 2-4 kepada Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Begitupun, MMU yang dilihat pencabar utama UKM dalam Kumpulan B, bakal berdepan laluan sukar petang ini kerana terpaksa berdepan PKB yang mahu bangkit memburu mata pertama dalam saingan edisi tahun ini.

Skuad bolasepak wanita diberi nafas baru

EPISOD duka yang membelenggu pasukan bola sepak wanita negara mahu segera dilupakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini sedang dalam proses pembentukan semula pasukan tersebut. Sehubungan itu, FAM mengambil langkah pertama dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan 2011 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam bermula 22 hingga 28 Julai ini. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, lapan pasukan dijangka akan menyertai kejohanan tersebut yang akan dikelolakan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Menurutnya, kejohanan yang berbentuk karnival tersebut dianjurkan ekoran pembubaran Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBSWM) berdasarkan arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) baru-baru ini.

“Sehubungan dengan itu Kejohanan Bola Sepak Piala Tun Syarifah Rodziah tidak lagi diteruskan sebaliknya satu piala baharu akan diumumkan sedikit masa lagi dan piala ini juga akan menjadi rebutan ketika kejohanan berbentuk liga dimulakan tahun depan.

“Sasaran kita ialah 12 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam liga pada tahun depan. Untuk itu, kita membuka penyertaan kepada semua negeri bagi mendaftarkan pasukan masing-masing sehingga penghujung Oktober depan,” katanya. Tambahnya, pasukan yang berstatus kelab juga boleh membuat permohonan tetapi perlu melalui badan gabungan untuk merealisasikan impian mewujudkan liga bola sepak wanita bermula Januari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, pihaknya menganggarkan peruntukan RM250,000 diperlukan untuk menganjurkan kejohanan berbentuk karnival tersebut dengan empat pasukan terbaik akan memenangi hadiah berbentuk wang tunai dan sebuah piala untuk pasukan yang menjadi johan. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM turut memaklumkan, kejohanan ini akan menjadi platform untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak wanita kebangsaan yang mantap bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak Wanita Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Laos pada Oktober ini selain Sukan Sea penghujung tahun ini.

“Satu jawatankuasa panel pemilihan terdiri daripada empat kumpulan akan dibentuk bagi memilih seramai 40 pemain untuk menjalani sesi pemilihan pasukan kebangsaan sepanjang bulan Ogos dan September ini.

“Kita ingin meningkatkan populariti bola sepak wanita. Saya melihat kejayaan skuad futsal wanita kebangsaan boleh menjadi perangsang kepada penubuhan pasukan bola sepak wanita kebangsaan.”

Jumaat, 1 Julai 2011

UiTM garang pada aksi sulung

JUARA bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) membelasah Universiti Malaya (UM) 4-0 pada aksi sulung Kumpulan A saingan bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2011 petang semalam.

Penyerang utama UiTM, Mohd. Razren Jesni muncul wira tuan rumah apabila meledak keempat-empat gol tersebut pada minit ke-14, ke-23, ke-71 (penalti) dan ke-90 pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam itu.

"Kejayaan menjaringkan empat gol pada aksi pertama ini pastinya memberikan keyakinan serta motivasi untuk beraksi lebih baik pada perlawanan selepas ini," kata Razren, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengajian Sukan ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Namun bagi jurulatih UiTM, Omar Ali, para pemainnya masih belum mempamerkan prestasi sebenar biarpun berjaya mencatat kemenangan besar.

"Permainan tak berapa menarik, mungkin kerana pemain beraksi di bawah cuaca panas terik. Lagipun ini perlawanan pertama," kata Omar.

Sementara itu, jurulatih UM, Mashraf Mustakim pula mahu melupakan segera kekalahan besar itu dan meminta para pemainnya fokus pada baki dua perlawanan kumpulan untuk mengintai tempat ke separuh akhir.

"Masih ada dua perlawanan, kami akan beri tentangan habis-habisan. Ini pertama kali kami layak beraksi untuk saingan piala ini. Jadi kita akan analisis kesilapan pada perlawanan pertama ini," kata Mashraf.

Sementara itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam. Dalam Kumpulan B, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Politeknik Kota Bharu (PKB) 3-0. MMU pula menewaskan Kolej Komuniti Kedah 4-2 di Stadium MMU.

Stadium baru buat penyokong kelantan..

PEMINAT dan penyokong setia bola sepak Kelantan bakal menyaksikan pasukan mereka beraksi di stadium yang dibina khusus untuk perlawanan bola sepak sekiranya permohonan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan peruntukan bagi membina stadium baru itu diluluskan oleh kerajaan Pusat.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (gambar) memberitahu, segala perincian telah pun hampir siap dan kini pihaknya berada di fasa terakhir untuk mengkaji beberapa aspek lagi mengenai pembinaan sebuah stadium yang berkapasiti 30,000 penyokong.

Menurutnya, tanah seluas hampir 16 hektar sudah dikenal pasti oleh pihaknya di sekitar kawasan Tunjong kira-kira lima kilometer dari bandar Kota Bharu yang dianggap paling sesuai untuk dijadikan tapak stadium.

“Pada dasarnya kita mempunyai dua cadangan tapak iaitu satu di Kampung Gading Galoh, Machang dan satu lagi di Tunjong. Tapi kita kini sedang memfokuskan tapak di Tunjong kerana ia hampir dengan Kota Bharu.

“Stadium yang akan dibina nanti adalah khusus untuk perlawanan bola sepak sahaja di mana standardnya sesuai untuk perlawanan domestik dan antarabangsa selain dibina dengan berbumbung,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, KAFA hanya memohon bantuan kewangan untuk pembinaan sahaja manakala pihaknya bersedia memikul tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan stadium tersebut kelak tanpa meminta bantuan pihak kerajaan.

Katanya, sebelum ini pihaknya bercadang untuk mengambil alih atau memajak Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSM IV) yang menjadi venue perlawanan melibatkan pasukan Kelantan sebelum ini namun, permohonan tersebut ditolak oleh kerajaan negeri.

“Memang SSM IV menjadi pilihan pertama kita kerana sebelum ini juga kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kos untuk menaik tarafnya hanya menelan belanja sekitar RM6 juta sahaja namun, ia tidak menjadi kenyataan.

“Kerja-kerja menaik taraf juga hanya memerlukan masa yang lebih singkat berbanding membina sebuah stadium baru. Bagaimanapun, selepas permohonan tersebut ditolak kita optimis untuk memohon bantuan kerajaan Pusat dan ia akan dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10),” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Annuar berkata, KAFA telah menghantar sepasukan pegawai yang terlibat untuk meneliti serta membuat pemerhatian terhadap beberapa buah stadium di Eropah termasuk Cardiff City, Stamford Bride dan Emirates sebagai rujukan dalam pembinaan stadium baru tersebut.