JUARA bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) membelasah Universiti Malaya (UM) 4-0 pada aksi sulung Kumpulan A saingan bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi 2011 petang semalam.
Penyerang utama UiTM, Mohd. Razren Jesni muncul wira tuan rumah apabila meledak keempat-empat gol tersebut pada minit ke-14, ke-23, ke-71 (penalti) dan ke-90 pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam itu.
"Kejayaan menjaringkan empat gol pada aksi pertama ini pastinya memberikan keyakinan serta motivasi untuk beraksi lebih baik pada perlawanan selepas ini," kata Razren, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengajian Sukan ketika ditemui selepas perlawanan semalam.
Namun bagi jurulatih UiTM, Omar Ali, para pemainnya masih belum mempamerkan prestasi sebenar biarpun berjaya mencatat kemenangan besar.
"Permainan tak berapa menarik, mungkin kerana pemain beraksi di bawah cuaca panas terik. Lagipun ini perlawanan pertama," kata Omar.
Sementara itu, jurulatih UM, Mashraf Mustakim pula mahu melupakan segera kekalahan besar itu dan meminta para pemainnya fokus pada baki dua perlawanan kumpulan untuk mengintai tempat ke separuh akhir.
"Masih ada dua perlawanan, kami akan beri tentangan habis-habisan. Ini pertama kali kami layak beraksi untuk saingan piala ini. Jadi kita akan analisis kesilapan pada perlawanan pertama ini," kata Mashraf.
Sementara itu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam. Dalam Kumpulan B, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Politeknik Kota Bharu (PKB) 3-0. MMU pula menewaskan Kolej Komuniti Kedah 4-2 di Stadium MMU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan