Selasa, 5 Julai 2011

siapa yang layak?

SAINGAN Liga Super 2011 akan menutup tirainya malam ini. Sejak edisi sulung Liga Super diperkenalkan pada 2004, belum pernah berlaku, penentuan juara terpaksa dibuat sehingga perlawanan terakhir. Namun malam ini bakal menentukan siapakah yang lebih layak bergelar juara dan majlis penyerahan trofi akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat ini.

Salah satu daripada pasukan – Selangor, Kelantan atau Terengganu – bakal dinobatkan selaku juara Liga Super 2011 se- terusnya menempah tiket layak beraksi pada Piala AFC 2012.

Kelebihan kini tampak memihak kepada pendahulu liga, Kelantan yang hanya perlu seri ketika bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini. Jika mencatat keputusan seri atau menang, skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu sah bergelar juara buat kali pertama tanpa perlu mengetahui dua keputusan perlawanan membabitkan Selangor dan Terengganu. Namun andai Kelantan tewas, peluang untuk bergelar juara menjadi milik Selangor dengan syarat skuad kendalian K. Devan itu berjaya mencatat tiga mata penuh ketika berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Ia sekali gus bakal menjadi sejarah tersendiri buat Selangor apabila muncul juara Liga Super buat tiga musim berturut-turut. Mengambil kira segala kemungkinan boleh berlaku, Terengganu turut berpeluang untuk dinobatkan sebagai juara berganda musim ini setelah skuad bimbingan Irfan Bakti itu berjaya menjulang Piala FA 2011 pada 11 Jun lalu. Terengganu hanya akan dapat menjuarai Liga Super jika mereka menang besar ke atas Felda United sambil mengharapkan Kelantan dan Selangor tewas.

Sementara itu, pasukan di tangga ke-12 dan 13 iaitu Kuala Lumpur dan Pahang ‘merebut’ satu lagi slot untuk mengiringi Perlis ke saingan Liga Premier musim depan. Kuala Lumpur yang memiliki 23 mata berdepan T-Team di Kuala Terengganu, manakala Pahang dengan 22 mata menanti kunjungan Kedah di Kuantan. Sejarah pasti tercipta andai Pahang turun ke Liga Premier 2012 kerana skuad Tok Gajah itu belum pernah sekalipun diturunkan ke saingan Divisyen Dua sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan pada 1989.

Isnin, 4 Julai 2011

perlu menang di likas

SELEPAS hampir tiga minggu berehat, saingan Liga Super kembali menerjah peminat bola sepak tanah air esok yang menyaksikan tiga pasukan teratas terus bersaing memburu gelaran. Paling hampir untuk mencipta sejarah adalah Kelantan yang hanya memerlukan satu mata ketika mereka dijadualkan berkunjung ke Kota Kina- balu menentang Sabah untuk perlawanan terakhir bagi memastikan piala Liga Super dibawa pulang ke Kota Bharu.

Kelantan dilihat berada pada kedudukan terbaik selepas mereka menerima semula khidmat lima tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Khairul Fahmi Che Mat, Fari- sham Ismail dan Shakir Shaari yang baru pulang menunaikan tugas bersama pasukan kebangsaan. Kelibat Norshahrul yang beraksi pada perlawanan antara Malaysia dan Taiwan malam kelmarin melegakan peminat- peminat The Red Warriors selepas bintang mereka itu dilaporkan mengalami kecederaan sebelum ini.

Perlawanan malam esok bukan sahaja menyaksikan persaingan merebut piala Liga Super tetapi juga gelaran penjaring terbanyak antara Norshahrul dan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu apabila mereka hanya dipisahkan dengan satu gol sahaja. Berdasarkan rekod pertemuan, Sabah adalah antara tiga pasukan yang gagal ditumpaskan Kelantan ketika aksi di ‘stadium keramat’ mereka, Stadium Sultan Muhammed IV apabila perlawanan hanya berkesudahan seri tanpa jaringan pada 16 April lalu.

Beraksi di Stadium Likas, The Red Warriors perlu berhati- hati kerana pasukan tuan rumah turut memiliki rekod yang cukup baik termasuk pernah menewaskan Perak dan Kedah, manakala Kelantan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan mereka sebagai juara baru Liga Super dan menambah koleksi kemenangan di gelanggang lawan. Kelibat penjaring terbanyak Sabah, Razlan Oto dan penyerang veteran, Zainizam Mar- jam perlu diberi perhatian oleh anak-anak buah Datuk M. Karathu kerana kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk meledakkan gol. Ketua Pasukan Kelantan, Badri Radzi ketika dihubungi bagaimanapun percaya dia dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi dinobatkan sebagai juara baharu pertandingan bola sepak paling berprestij tanah air itu.

Menurutnya, kejayaan membawa pulang Piala Liga Super sudah tentu mengubat kekecewaan peminat selepas The Red Warriors terpaksa merelakan Terengganu mendakap Piala FA selepas kecundang 2-1 pada perlawanan akhir 11 Jun lalu. “Kita pergi untuk menang walaupun satu mata sudah cukup untuk kita mengesahkan kejuaraan. Apabila bermain untuk seri, kita dalam bahaya, Selangor dan Terengganu hanya tunggu masa dan kita tidak mahu berputih mata sekali lagi. “Perlawanan ini sangat penting. Saya gembira apabila lima rakan yang menyertai skuad kebangsaan akan bersama kami semua. Ia sudah tentu perlawanan yang sengit tetapi kita mahu memenanginya,” ujarnya. Tambahnya, ketiadaan Nurul Azwan Roya yang mengutip tiga kad kuning sedikit merencatkan perancangan, namun beberapa pemain lain seperti Mohd. Izuan Solahuddin mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

lahirkan lebih banyak pemain yang hebat

MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Selangor melahirkan semula pemain-pemain handalan bola sepak negara.

Beliau berkata, suatu ketika dahulu ramai pemain menggilap bakat di Selangor sebelum mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Abdul Ghani Minhat.

"Saya yakin Selangor mampu melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang handal. Allahyarham Mokhtar Dahari sendiri bermula dengan pasukan Selangor PKNS sebelum menyinar sehingga ke peringkat tertinggi," katanya ketika menerima kunjungan pasukan Selangor PKNS selaku juara Liga Premier 2011, di Shah Alam semalam.

Skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu dinobatkan sebagai juara setelah memenangi 18 daripada 22 perlawanan setakat ini, sekali gus bakal beraksi dalam Liga Super tahun depan.

skuad olimpik menentang chelsea

KEMARAAAN skuad bola sepak kebangsaan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 memaksa perubahan terpaksa dilakukan untuk aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea pada 21 Julai depan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR. Pada asalnya, skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal dijadual untuk berdepan tiga kelab gergasi England iaitu Arsenal (13 Julai), Liverpool (16 Julai) dan Chelsea pada 21 Julai.

Namun skuad Rajagobal itu hanya akan turun menentang Arse- nal dan Liverpool kerana jadual perlawanan menentang Chelsea kebetulan hanya dua hari sebelum aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura pada 23 Julai. Sebagai alternatif, tugas untuk berdepan skuad Chelsea bimbingan pengurus baru, Andre Villas- Boas bakal digalas oleh skuad Olimpik negara iaitu Harimau Muda A bimbingan Ong Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau akan menggabungkan barisan pemain Harimau Muda A dengan beberapa pemain bintang Liga Super yang tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan kendalian Rajagobal."Sudah tentu beberapa pemain utama skuad Olimpik seperti Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, K. Gurusamy dan Ahmad Fakri Saa- rani tidak dapat beraksi kerana mereka ada tugas penting bersama skuad kebangsaan.

"Jadi saya akan menggunakan pemain Harimau Muda A yang lain dan dibantu antara empat hingga enam pemain luar dari pasukan Liga Super untuk mengisi mana-mana posisi yang perlu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Ia sekali gus bakal membuka ruang buat beberapa pemain senior seperti Amri Yahyah (Selangor), Badhri Radzi (Kelantan), Abdul Manaf Mamat (Terengganu), Indra Putra Mahayuddin (T- Team) serta pemain-pemain lain merasai peluang berdepan Petr Cech, Ashley Cole, John Terry, Frank Lampard, David Luiz dan Fernando Torres.

Bagi Kim Swee, 41, sendiri, beliau turut berasa bertuah dapat mengendalikan pasukan yang akan bertemu kelab sebesar Chelsea yang kini dibimbing Villas- Boas yang baru berusia 33 tahun. "Selain para pemain muda kita dapat pengalaman bertemu bintang-bintang dunia, bagi kami di pihak tenaga kejurulatihan, ia penting untuk kami mempelajari sesuatu. "Ketika bergelar pemain, saya sekali berpeluang menentang kelab Brazil, Flamengo di Stadium Shah Alam pada 1994," ujarnya. Harimau Muda A yang bakal menamatkan saingan Liga Super bertemu Johor FC malam esok akan berlepas ke Slovakia penghujung bulan ini bagi latihan dan aksi persahabatan selama sebulan sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012.

Kami perlu bekerja keras dan tampil dengan rentak yang lebih agresif

"Kami perlu bekerja keras dan tampil dengan rentak yang lebih agresif."

Itu peringatan kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim (gambar) kepada rakan-rakan sepasukannya menjelang aksi pusi- ngan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura penghujung bulan ini.

Jelas Safiq, dia dan barisan pemain Harimau Malaya harus mempertingkatkan rentak permainan seandainya berhasrat melangkah lebih jauh pada saingan kelayakan kali ini.

Peringatan Safiq itu bersandarkan kepada prestasi mereka ketika menentang Taiwan pada aksi kedua pusingan pertama malam tadi yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 2-3.

"Kami banyak melakukan kesilapan sehingga membolehkan Taiwan menghukum kami. Saya harus akui, ini bukan permainan kami yang sebenar.

"Kami perlu bangkit dengan segera jika mahu meneruskan langkah. Dengan masa yang ada sebelum menentang Singapura, saya harap kami dapat memperbaiki beberapa kelemahan yang ada," kata Safiq.

Pada aksi kelmarin, barisan kendalian Datuk K. Rajagobal dilihat gagal menyerap tekanan pihak lawan, lebih-lebih lagi apabila diasak menerusi serangan balas.

Untuk memburukkan keadaan, pengadil dari Vietnam, Vo Minh Tri telah menghadiahkan tiga sepakan penalti kepada Taiwan dengan menyaksikan dua daripa- danya menghasilkan gol buat tuan rumah.

"Perkara seperti ini tidak harus berterusan. Kami tidak boleh ulangi kesilapan yang sama ketika menentang Singapura nanti," jelasnya.

Bagaimanapun, Safiq tetap berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya yang telah berjaya merealisasikan impian Harimau Malaya mara ke pusingan kedua.

"Walaupun tidak memberikan aksi terbaik tetapi para pemain Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi bagi meraih kejayaan hari ini (malam tadi).

"Semangat serta komitmen seperti inilah yang kami harus bawa bagi menghadapi pusingan kedua menentang Singa- pura nanti," kata Safiq yang meledak gol kedua pasukan negara pada perlawanan malam kelmarin.

Harimau malaya mahu benam singapura

TAIWAN sudah ditunjuk jalan keluar, inikan pula Singapura. Justeru, pertembungan Malaysia dengan barisan skuad kebangsaan ‘import’ Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan pasti sengit. Andai berjaya mengatasi Singapura kelak, Malaysia mempunyai alasan tersendiri untuk bermegah kerana lawan mereka merupakan pasukan yang diwakili pemain import dan bukannya seratus peratus anak jati tempatan.

Malaysia layak ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Taiwan dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. Agregat terikat 4-4 tetapi skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu telah menghasilkan dua gol di tempat lawan malam kelmarin meskipun pada aksi tersebut Malaysia tewas 2-3. Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lepas, Malaysia menang 2-1. Ranking antara Malaysia dengan Singapura juga tidak jauh berbeza. Malaysia berada di tangga ke-144 dunia manakala Singapura menghuni tangga ke-142.

Rekod kemenangan juga agak seimbang namun, Singapura yang dibimbing Rodojko Avramovic itu mendapat bye pusingan pertama dan telah mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan pusingan kedua. Pada 7 Jun lalu, Singapura mudah menewaskan Maldives 4-0 menerusi dua jaringan Qiu Li, Shi Jiayi dan Aleksandar Duric. Pada Khamis lalu pula, Singapura berjaya menewaskan kelab Perancis yang beraksi di Liga Singapura, Etoile FC 2-1 hasil jaringan Li dan Duric. Kemenangan yang mereka raih itu memang hebat tetapi, semuanya disumbangkan oleh ‘warganegara import’ mereka.

Malaysia pula seri 1-1 dengan Etoile FC pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Mac lalu. Li, 30, dan Jiayi, 28, merupakan dua pemain kelahiran China yang mendapat kerakyatan Singapura manakala Duric, 41, dari Bosnia mula beraksi untuk Singapura sejak 2007. Biarpun Avramovic telah menggugurkan beberapa muka lama seperti Baihakki Khaizan, Noh Alam Shah, Precious Emuejeraye dan Agu Casmir untuk senarai 33 pelatih bagi kelayakan Piala Dunia 2014, majoriti daripada pemain utama lain masih dikekalkan dalam skuad.

kelantan memburu 3 mata penuh di sabah

KELANTAN bertekad untuk meraih mata penuh pada aksi terakhir Liga Super musim ini bertemu Sabah pada Rabu ini, sekali gus dinobatkan selaku juara buat kali pertama.

Kelantan menyuarakan keinginan itu ketika juara Piala FA musim ini, Terengganu dan juara bertahan Liga Super, Selangor yakin mereka masih berpeluang memintas skuad The Red Warriors.

Bagi pengurus Kelantan, Azman Ibrahim, meskipun Kelantan hanya perlu mencatat keputusan seri untuk dinobatkan selaku juara baharu, beliau enggan mengambil risiko, sebaliknya mahu mencatat kemenangan dalam perlawanan itu.

Azman berkata, kunjungan ke Negeri Di Bawah Bayu itu bukan semata-mata mahu mencatat seri tetapi mahu memburu tiga mata penting untuk memastikan pasukan tersebut muncul juara liga musim ini.

"Inilah peluang terbaik kita menjulang kejuaraan selepas mencuba selama tiga tahun untuk bergelar juara dan para pemain juga menye- dari kita sudah terlalu hampir untuk mencapai impian tersebut.

"Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan lain kerana apa yang kita kecapi hari ini (menduduki tangga teratas liga) adalah hasil usaha gigih kita semata-mata.

"Kegagalan dalam perlawanan akhir Piala FA lalu menjadi pengajaran dan ia menjadi suntikan semangat kepada pemain dan kita tidak mahu kecewa lagi," katanya.

Tambahnya, The Red Warriors tetap tidak memandang mudah pertemuan ini kerana Sabah merupakan sebuah pasukan yang cukup liat untuk ditumbangkan, terutamanya di tempat sendiri.

Azman memberitahu, berdasarkan sesi latihan yang ditunjukkan oleh barisan pemain, beliau optimis misi untuk membawa pulang piala itu ke negeri ini buat pertama kali ternyata tidak mustahil.

"Siapa kata kita tidak boleh mengalahkan Sabah di Kota Kinabalu. Kalau Selangor, Terengganu, Johor FC, Harimau Muda dan T-Team mampu berbuat demikian, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.

"Malah dua pencabar terdekat kita iaitu Terengganu dan Selangor juga sudah pasti berhadapan tugas sukar kerana bermain di tempat lawan," ujarnya.

Katanya, tidak mudah bagi Terengganu untuk berhadapan dengan KL Felda United FC kerana hanya Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak yang pernah menewaskan pasukan itu di tempat mereka.

Sementara itu, Azman turut mengesahkan kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan akan kembali menyertai pasukan esok.

Lima pemain tersebut ialah Nor- shahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Shakir Shaari dan S. Chanturu.