Sabtu, 18 Jun 2011

muslim kecewa

BEK tengah negara, Muslim Ahmad menyuarakan rasa kecewa dengan laporan sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Kumpulan NSTP) berkenaan isu rasuah yang melanda negara, termasuk disyaki menular sehingga ke skuad kebangsaan.

“Memang kecewa apabila tuduhan begitu dilemparkan kepada kami ketika kami sedang bermati-matian berjuang untuk menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa,” kata Muslim yang tiba bersama rakan sepasukannya ke Beirut, Lubnan kelmarin.

“Ketika menang kami disanjung, tetapi apabila kalah, macam-macam tuduhan pula timbul. Tertekan juga kami apabila membaca laporan itu ketika pasukan berdepan cabaran penting di luar negara.

“Bagaimanapun jurulatih Ong Kim Swee menasihatkan kami untuk tidak mempedulikan sebarang laporan atau kritikan negatif yang mampu menjatuhkan semangat dan moral kami. Kami menganggap itu sebagai antara cabaran yang perlu dihadapi seorang pemain bola sepak profesional.”

Skuad negara dikejutkan dengan laporan akhbar berkenaan yang mendakwa rasuah berlaku di dalam skuad kebangsaan termasuk skuad Olimpik selepas kekalahan 0-1 dan 0-4 kepada Kemboja dan Qatar dalam siri perlawanan persahabatan menjelang pusingan kedua kelayakan Olimpik bertemu Lubnan.

Terdahulu, kapten skuad Harimau Malaya, Shafiq Rahim turut menyuarakan perasaan sama apabila dia dan rakan-rakan didakwa mengatur keputusan perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan